06 August 2012

Majlis Berbuka Puasa 2012


Assalamualaikum wbt

Adalah dimaklumkan bahawa Unit Pengadil Persatuan Bolasepak kuala Lumpur akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa pada 12 OGOS 2012 bersamaan hari AHAD bertempat di Stadium Bolasepak Cheras. Para Hadirin adalah digalakkan berpakaian baju melayu bersesuaian dengan program kelak. Aturcara Program adalah seperti berikut :

1900 - Berkumpul
1927 - Berbuka (Ringan)
1937 - Solat Maghrib
2000 - Jamuan
2045 - Solat Isya'
2100 - Terawikh
2245 - Moreh
2315 - Majlis dijangka tamat

Semua Pengadil dan Penilai Pengadil Kuala Lumpur amatlah dijemput hadir bagi memeriahkan program tahunan ini disamping dapat mengeratkan lagi silaturahim di kalangan pengadil. Segala pertanyaan lanjut berkaitan program bolehlah berhubung dengan Pegawai Pembangunan Pengadil KLFA, Encik Ahmad Zaini Bin Wan Lah aka Madjan 013 3975971.

26 July 2012

Widiya Habibah ke Olimpik 2012

Ramai yang tidak tahu atau tidak sedar, pencapaian pengadil wanita di Malaysia sebenarnya boleh dibanggakan. Pengadilan di Malaysia, rasanya ramai yang kenal dengan saudari Widiya Habibah Bte Shamsuri, pengadil yang berdaftar dibawah Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur. Beliau yang lahir pada 29 Mei 1977 dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini memulakan karier antarabangsa sebagai Pengadil FIFA sejak 2005. Selain bertugas di peringkat tertinggi di Liga Tempatan, antara pengalaman yang pernah beliau lalui ialah tugasan di Piala Dunia Wanita pada 2011 yang diadakan di Jerman dan juga Sukan Olimpik pada 2008 yang ketika itu berlangsung di Beijing,China. Bermakna, ini adalah kali kedua beliau bertugas di Sukan Olimpik. Bagi acara Bolasepak wanita akan bermula pada 25 julai sehingga 9 Ogos 2012. Dan kita dapat saksikan penampilan beliau di Hampden Park Stadium semasa perlawanan dalam kumpulan G antara USA vs France, yang mana perlawanan ini dapat disaksikan secara live di Astro824. Diharap selepas ini beliau akan bertugas sehingga ke Final. Berikut adalah senarai Pengadil wanita dari Asia yang akan bertugas sepanjang acara bolasepak wanita akan berlangsung :Pengadil : HONG Eun Ah - Korea Republic, YAMAGISHI Sachiko - Japan Penolong Pengadil : HO Sarah - Australia, FLYNN Allyson - Australia, KIM Kyoung Min - Korea Republic dan SHAMSURI Widiya Habibah - Malaysia.
Sempena kejayaan ini, pihak Unit Pengadil Persatuan Kuala Lumpur di bawah kelolaan Encik Ahmad Zaini Bin Wan Lah aka Madjan telah mengadakan satu majlis makan-makan bagi meraikan beliau. Majlis yang diadakan di Restoran ChiangMai, Bukit Jalil pada 11 Julai (Rabu) dimeriahkan dengan kehadiran Pengadil-pengadil kebangsaan dan beberapa Penilai Pengadil. Aktiviti dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Bakar yang turut hadir pada malam tersebut. Sebelum majlis bersurai, sebagai sokongan dan galakan, Cikgu Nik Ahmad Yaakob dan Cikgu Zainal Abidin telah memberikan panduan dan kata-kata semangat kepada beliau agar menjalankan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.
Kami Warga Pengadil mengucapkan TAHNIAH dan SEMOGA MAJU JAYA kepada WIDIYA HABIBAH SHAMSURI.

07 March 2012

Majlis Perjanjian Tajaan Paragon Vest Sdn Bhd - KLFA


Bertempat di Bilik Seminar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, telah berlangsung satu majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama Paragon Vest Sdn Bhd dan Persatuan Bolasepak kuala Lumpur untuk pakaian sukan jenama Kronos bagi pasukan dan Pengadil KLFA. Majlis yang diadakan pada 20hb Februari 2012 jam 3.00 petang yang lalu, telah dimulakan dengan ucapan oleh YBhg datuk Astaman Bin Abdul Aziz selaku Presiden KLFA dan disusuli oleh ucapan Ketua Eksekutif Paragon Vest Sdn Bhd, YBhg Encik Vincent Lai. Majlis yang mendapat liputan beberapa akhbar tempatan seperti Berita Harian dan MalayMail dan portal Online ini, diharapkan menjadi satu usahasama yang baik dan memberi satu petanda yang positif.

Penajaan bagi musim 2012 ini, bukan sahaja bagi pasukan KL yang bersaing di Liga Super Malaysia tetapi juga bagi kelab-kelab gabungan dan Pengadil KLFA. Pihak Pengadil KLFA mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Pengurusan KLFA diatas penajaan dan juga kepada Pegawai Pembangunan Pengadil Kuala Lumpur iaitu Encik Ahmad Zaini Bin Wan Lah aka Madjan diatas usaha dan kesungguhan beliau dalam meningkatkan kredibiliti Pengadil KLFA. Pelaksanaan ini diharapkan menjadi satu semangat dan galakan kepada para pengadil KL untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.


Encik Ahmad Zaini memaklumkan dalam perjumpaan Pengadil yang lepas, bahawa setiap pengadil yang inginkan uniform tajaan ini haruslah memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut :

a) Komitmen kepada KLFA sepanjang musim 2011-12
b) Kehadiran semasa tugasan, latihan dan perjumpaan bulanan.
c) Lulus Ujian kecergasan KLFA untuk musim 2012-13.

Jadi, seharusnya para pengadil perlu menunjukkan komitmen yang baik dan kecergasan diri yang tinggi dalam memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Dan, secara tidak langsung ini akan membantu para pengadil KLFA akan sentiasa bersedia dalam menjalankan lantikan yang diberi.

Ayuh Pengadil KLFA, bersama-sama menunjukkan KOMITMEN dan KREDIBILITI diri, agar Martabat Pengadil KLFA akan dipandang positif dan dihormati.

16 January 2012

Ujian Bertulis Kelas III FAM


Unit Pengadil Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur mempelawa dan membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menceburi bidang pengadilan bolasepak di Malaysia mendaftarkan diri mengikuti kelas dan Ujian bertulis yang akan dikelolakan oleh pihak FAM tidak lama lagi. Maklumat Program :

UJIAN BERTULIS KELAS III FAM

Tarikh Ujian : Dijangkakan Hujung bulan Mac 2012
Tarikh Tutup Pendaftaran : 29 Februari 2012
Tempat Ujian/Kelas : Akan dimaklumkan kemudian.

Untuk pertanyaan lanjut, bolehlah berhubung dengan Pegawai Pembangunan Pengadil KLFA iaitu Encik Ahmad Zaini @ Madjan di talian 010-5293975 atau datang terus mendaftarkan diri di Unit Pengadil KLFA, Stadium Bolasepak Cheras.

Pihak Unit Pengadil KLFA amat mengalu-alukan kehadiran kepada sesiapa yang berminat.