20 June 2009

Memainkan Bola atau Kaki


Insiden ini lazim kelihatan di semua perlawanan yang agak sengit. Pengadil, jurulatih, pegawai pasukan dan penonton melihatnya dari pelbagai perspektif yang berbeza. Jurulatih, pegawai pasukan dan penonton biasanya, ingin melihat sesuatu keputusan itu berpihak kepada pasukannya. Pengadil pula tidak melihat dengan berpihak kepada mana-mana pasukan tetapi adalah menjadi tugasnya untuk menguatkuasakan undang-undang dengan adil dan betul.
Apakah yang menjadikan keputusan itu betul?
Keputusan pengadil dipengaruhi oleh beberapa faktor: posisinya, kejelasan insiden yang dilihat, jangkaan bahawa takel itu akan berlaku, kebolehannya untuk menggambarkan dan melihat di celah-celah kedua-dua pemain itu dan keberaniannya untuk membuat keputusan.
Jika pemain itu memainkan bola dahulu, kemudian pemain lawan melanggar kakinya dan terjatuh, takel itu dianggap sebagai sah, bersih dan betul. Jika pemain itu memainkan kaki pemain lawan dahulu sebelum bola atau kedua-duanya serentak, keputusan yang betul ialah menghukum takel itu. Insiden ini boleh dianggap sebagai membentes atau menendang pemain lawan dan akan dihukum dengan satu sepakan percuma terus kepada pasukan lawan ataupun sepakan penalti jika berlaku di dalam kawasan penalti pemain yang bersalah itu.
Bukan semua kesalahan sedemikian akan dihukum dengan kad (kuning atau merah). Jika takel itu dianggap cuai atau lalai (cuba memainkan bola, terlepas dan memainkan kaki pemain lawan dahulu), tiada kad diberi. Jika pemain yang cuba membuat takel secara bahaya atau gegabah tanpa menghiraukan keselamatan pemain lawan, kad kuning akan diberi kerana tiada semangat kesukanan dalam permainannya. Jika takel itu menafikan suatu serangan yang baik, kad kuning juga akan diberi kerana sebab yang sama.
Kad merah atau perintah keluar adalah hukuman, jika pemain menggunakan daya yang berlebihan dan bermain dengan ganas atau secara agresif. Dia diperintah keluar kerana bermain dengan amat kasar atau berkelakuan ganas.
Sebagai panduan kepada pengadil, bergerak ke dalam posisi yang betul (boleh melihat di celah-celah pemain) dengan pantas atau kalau boleh lebih awal, berada lebih hampir dengan insiden (terlalu hampir akan menjejaskan penglihatan), baca niat pemain yang berlari denga bola dan juga pemain pertahanan menghampirinya (pemain pertahanan kemungkinan membuat takel yang tepat atau mengkasari pemain lawan dan penyerang kemungkinan dikasari atau ditakel atau cuba melompat/merebahkan diri untuk mengelak atau menipu). Tempat berlakunya kejadian tidak seharusnya mempengaruhi keputusan anda namun ketika permainan menghampiri kawasan penalti, tumpuan yang lebih hendaklah diberi kepada permainan. Ketika membuat keputusan, pemikiran hendaklah terbuka (tiada prejudis atau memihak) baca niat pemain, timbangkan tahap seriusnya kesalahan itu dan membuat keputusan dengan segera sama ada hukuman lanjutan (amaran lisan, kad kuning atau merah) ketika wisel diletakkan di mulut. Ini tidak akan membenarkan faktor-faktor lain mempengaruhi keputusan dan hukuman anda. Lakukannya dengan betul, adil dan mengikut kemampuan terbaik anda - ini akan menyebabkian diri lebih dihormati oleh semua.

No comments: