22 June 2009

Simpati pada Masa yang Salah - Mengurus Kecederaan


Undang 5 (Pengadil) menyatakan bahawa adalah tugas pengadil untuk memberhentikan permainan, jika pada pendapatnya, seorang pemain itu tercedera parah dan pastikan dia dikeluarkan dari padang permainan dan untuk memastikan pemain yang berdarah lukanya keluar dari padan permainan. Pemain hanya boleh masuk semula setelah pengadil puashati bahawa pendarahan itu telah berhenti. Perkara ini juga telah diberi tekanan dalam pindaan undang-undang FIFA terbaru – untuk memberhentikan permainan kerana kecederaan yang parah.

Ramai pengadil dengan rasa simpati memberhentikan permainan tetapi pada masa tidak sepatutnya dan mengecewakan pasukan yang sedang membuat serangan ke arah gol pasukan lawan. Apa sebenarnya ialah “kecederaan yang parah atau serius”? Walaupun pengadil akan terlepas dengan mengatakan “pada pendapat saya” tetapi logik akal (common sense) memberitahu bahawa kejang otot bukan cedera parah. Suatu pelanggaran ringan kepada kaki, kepala atau badan atau terbaring untuk berehat sebentar setelah ditakel atau keletihan juga bukan. Memberhentikan permainan pada ketika yang salah akan memberikan ide kepada jurulatih dan pemain untuk menggunakan kelemahan ini bagi melambat-lambatkan permainan atau sebagai taktik membuang masa agar mengganggu rentak serangan pasukan lawan. Sebenarnya, sesetengah jurulatih dan pemain telah pun mengamalkan taktik ini dengan bantuan pengadil. Pemain setelah terjatuh dan melihat bahawa pasukan lawan masih membuat serangan ke arah golnya akan terus berada di bawah dengan harapan pengadil yang tertipu (maaf) akan memberhentikan permainan dan kemudiannya memulakan semula permainan dengan jatuhan bola.
“Logik bola” atau logik akal perlu diambil kira ketika membuat keputusan sama ada sesuatu kecederaan itu parah/serius atau tidak. Kesan ketika dua pemain berlanggar sesamanya atau teruk mana sesuatu takel itu, kepala berlaga, ‘bunyi retak’ ketika sesuatu kesalahan berlaku, pemain berdarah atau dua pemain rebah dan tidak bergerak setelah suatu perlanggaran, adalah beberapa kejadian lazim sebagai contoh kecederaan parah. Jika pemain tercedera ringan walaupun masih memegang pergelangan kaki atau lututnya hendaklah digalakkan bergerak keluar dari padang permainan semasa bola dalam permainan atau ketika sesuatu pemberhentian. Pasukan-pasukan yang ikhlas mahukan pengadil pengadil menggalakkan “fair play” seharusnya menyokong tindakan pengadil untuk meneruskan permainan ketika pemain tercedera ringan walaupun masih terduduk tidak akan menjerit dengan kemarahan, terutamanya ketika pasukannya sedang diserang oleh pasukan lawan. Inilah sebenarnya “FAIR PLAY” yang tulin!

2 comments:

Tiong Nam said...

Secara logiknya juga, pemain yang pasukannya sedang ketinggalan tidak akan berpura-pura cedera.

Hanya pasukan yang menang yang akan menggunakan perlbagai taktik untuk melengah-lengah permainan.

Pengadil yang bijak, amat mudah untuk mengenalpasti sama ada perlakuan itu merupakan suatu taktik atau sebaliknya.

MALDIVES REF said...

Benar, suatu common sense atau ball sense yang tepat. Simulasi boleh berlaku untuk pelbagai tujuan - mendapatkan simpati ref untuk bagi pemain lawan kad atau menunjukkan bahawa pengadil salah keputusan. Ramai pengadil yang bijak tetapi sering gagal menangani karenah 'time-wasting' - yang pasti sering kali termakan perangkap pemain?